TIGA paparan kes di atas adalah kejadian sebenar yang dirujuk di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras, gara-gara perbuatan lelaki mendapatkan khidmat urut batin untuk tampil hebat di ranjang.
Dalam tiga kes terbabit, tanpa usul periksa, mangsa mendapatkan khidmat tukang urut batin yang disangka mampu mengembalikan kejantanan dan dominasi mereka di bilik tidur.
Akhirnya, keputusan yang mungkin didorong nafsu dan gesaan membuktikan diri hero di ranjang, menyebabkan terbabit menanggung derita. Zakar dan buah zakar membengkak selain sukar membuang air kecil dan berjalan, menjadi antara kesengsaraan yang perlu ditanggung lelaki terbabit yang tidak berfikir panjang ketika membenarkan kemaluan diurut.
Paparan kedua isu urut batin kali ini mengajak pembaca berkongsi pandangan pakar perubatan mengenai amalan urut batin yang makin popular sejak akhir-akhir ini. Jika tidak berhati-hati, lelaki boleh berdepan masalah dan andainya kesan cukup kronik, alamat meranalah lelaki yang sebelum ini mungkin memiliki kehidupan kelamin normal.
Perunding Urologi dan Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan UKM, Prof Dr Zulkifli Md Zainuddin berkata, amalan urut secara amnya tidak membawa kesan buruk kepada anggota badan kecuali jika ia dilakukan pada bahagian sensitif terutama zakar.
“Kita lihat teknik yang diamalkan dalam proses mengurut ialah memicit atau melakukan urutan pada kaki, paha dan belakang badan. Semua itu tidak mendatangkan masalah tetapi perlu saya jelaskan, zakar tidak boleh diurut.
“Zakar ibarat sponge organ atau organ span di mana ia hanya membesar apabila ada bekalan darah dan zakar berkait rapat dengan saraf,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.
Dr Zulkifli berkata, seseorang lelaki yang menghadapi masalah disfungsi erektil (ED), pancutan pra matang dan rendah tahap libido tidak akan beroleh faedah atau manfaat daripada proses berurut termasuk urut batin.
“Dari aspek logik, kita tidak dapat melihat bagaimana proses urut boleh membantu... Kita tidak nampak apakah mekanisme yang digunakan (dalam proses urutan) boleh memberi kesan positif kepada lelaki,” katanya sambil menambah tidak salah lelaki sekali-sekali berurut untuk relaks dan menyegarkan tubuh.
Dr Zulkifli berkata, beliau pernah berdepan beberapa kes kronik berpunca daripada urutan batin pada zakar termasuk zakar membengkak, saluran kencing koyak dan buah zakar lebam.
“Saya tidak menolak amalan tradisional jika ada lelaki mahu mencuba teknik urutan batin tetapi jangan lakukannya pada zakar... Apa yang perlu dilakukan ialah kita periksa paras hormon testosterone dan tekanan jika mendapati sukar mencapai tahap ghairah melakukan hubungan kelamin.
“Semua ini perlu dilakukan kerana ini yang menjadi punca kepada rendahnya tahap libido seseorang lelaki,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, lelaki bebas memilih teknik urutan pada bahagian tubuh yang ada kaitan langsung dengan kemaluan tetapi jangan sesekali membenarkan zakat diurut bagi mengelak komplikasi.
“Jika hendak dikatakan urut boleh melancarkan saraf, saya tidak pasti. Sudah tentu proses urut menggunakan minyak panas boleh menimbulkan keadaan yang dikenali sebagai vesuliditasi iaitu keadaan di mana saluran darah terbuka.
“Jadi, keadaan ini nampaknya bertepatan dengan konsep pelancaran saluran darah,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, dari aspek saintifik, amalan mengurut belum lagi dibuktikan terutama kaitannya dalam menguatkan saraf.
“Jika kita menghidap kencing manis dan darah tinggi yang memang mendapat (kesan) ED, penyakit kronik seperti tidak dapat dibantu melalui proses urut. Jika kita menghadapi masalah saluran darah kecil dan tersumbat, saya tidak tahu bagaimana saluran darah ini boleh dibesarkan melalui urut batin.
“Dari segi amalan perubatan moden, kita gunakan ubat PDE Inhibitor yang akan membuka saluran darah dan lelaki akan mendapat ereksi seperti biasa,” katanya yang menasihati lelaki supaya berhati-hati agar tidak terpengaruh melakukan urutan batin terutama pada zakar.
Kenali hormon testosterone dan kongsi tip meningkatkan paras hormon testosterone anda